Monday, July 13, 2009

PROGRAM KORBAN DI KEMBOJA

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah." Al-Kautsar: Ayat 2

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:
"Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja
dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya."

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwa
n itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)



Mukaddimah:

Masyarakat Melayu-Champa adalah merupakan sebahagian daripada penduduk Kemboja hari ini, yang merupakan golongan minoriti. Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah mereka yang tersendiri.

Kini bilangan penduduknya dianggarkan lebih kurang 500,000 orang daripada jumlah penduduk Kemboja seramai lebih kurang 13 juta orang. Namun begitu dari segi politiknya masyarakat Melayu-Champa dianggap penting kerana mereka merupakan golongan penentu dalam pilihanraya Kemboja.

Pada tahun 1975-79 berlakunya pembunuhan beramai-ramai di kalangan bangsa Melayu-Champa oleh pemerintahan regim komunis Pol-Pot. Sejak tahun 1974 lagi ‘alim ulama’ Islam Melayu-Champa sudah mula dibunuh. Apabila Pnom Penh, ibu kota Kemboja jatuh pada tahun 1975, kepada regim Pol-Pot, keseluruhan ahli Mufti Kemboja telah ditangkap, dipenjara dan kemudiannya dibunuh. Antara yang turut syahid ialah Mufti Kemboja ketika itu, Imam Abdullah Bin Idris.

Pembunuhan beramai-ramai seperti ini adalah merupakan usaha penghapusan etnik Melayu-Champa. Polisi penghapusan etnik ini terlaksana dengan beberapa pendekatan, iaitu:

Pendekatan Pertama: Penghinaan jiwa dan maruah bangsa Cham melalui beberapa tindakan. Antara lain:
  • Lelaki bangsa Cham yang kononnya berdegil untuk terus bersongkok, berkopiah atau berserban akan dibunuh.
  • Begitu juga orang-orang perempuan yang ingin terus berselindang, bersanggul dan berpakaian labuh seperti baju kurung juga dibunuh.
  • Penggunaan Bahasa Melayu-Champa diharamkan langsung dan sesiapa didapati masih menggunakannya akan dibunuh.
Pendekatan Kedua: Pengharaman amalan-amalan beragama seperti sembahayang, berpuasa dan membaca al-Qur’an. Ini dilakukan dengan beberapa cara, antara lain:
  • Masjid dan surau dirobohkan atau dijadikan stor makanan dan barang-barang.
  • Mereka dipaksa makan babi. Memakan daging babi dijadikan kayu ukur untuk menguji kesetiaan dan keikhlasan seseorang Melayu-Cham itu kepada perjuangan komunis.
Pendekatan Ketiga: Pemindahan Paksa. Masyarakat Melayu-Cham dari sesebuah kampung dipecah-pecahkan dan dihantar ke tempat-tempat yang jauh diantara satu sama lain dan penempatan mereka dicampur adukkan dengan orang-orang bukan Islam.

Ketiga-tiga pendekatan ini telah mengorbankan banyak nyawa orang-orang Melayu-Champa. Ini ialah kerana fahaman komunis dan ras yang dijiwai oleh Pol-Pot dengan impian kumpulan bangsa Khmer seperti di zaman Angkor Watt, tidak dapat menerima kehadiran atau kewujudan bangsa Melayu-Cham di bumi Kemboja.

Takdir Allah Swt. mengatasi segala-galanya, tiba-tiba pada 7 Januari 1979 Vietnam dengan bala tenteranya yang besar telah menyerang Kemboja dan menjatuhkan pemerintahan regim Pol-Pot. Walaupun pemerintahan regim zalim Pol-Pot, hanya sekitar 5 tahun, namun terdapat kira-kira seramai 1.6 juta rakyat Kemboja terbunuh dan melibatkan lebih 90 ribu atau 26% umat Islam Melayu-Cham mati dibunuh antara tahun 1975-79 di Kemboja. Selepas itu kuasa pemerintahan Kemboja jatuh ke tangan Cambodian Peoples’ Party pimpinan Hun Sen melalui pilihanraya.

Kini masyarakat Melayu-Cham bukan sahaja menjadi golongan minoriti di Kemboja tetapi menghadapi perbagai kesulitan dan kepayahan hidup. Antaranya kadar buta huruf yang dialami sangat tinggi dan ramai yang tidak berpeluang meneruskan pelajaran kerana dihimpit kemiskinan. Sebilangan besar masyarakat Melayu-Cham tidak ada pekerjaan yang tetap dan berpendapatan yang sewajarnya kecuali bertanam padi dan menangkap ikan serta melakukan pelbagai pekerjaan secara secukup hidup untuk makan.

Kemiskinan sebahagian besar masayarakat Melayu-Cham sangat ketara di Kemboja walaupun ada sebahagian yang sangat kecil dapat melepasi taraf kemiskinan tersebut melalui usaha di peringkat dalaman negara dan bantuan dari luar negara.

Ibadah Korban Edul Adha

Program ini akan diusahakan pada setiap Hari Raya Edul Adha. Walaupun ia telah dilaksanakan beberapa program Korban dan Aqiqah melalui berberapa agensi dan NGO-NGO tertentu dari Malaysia, namun program yang akan dijalankan ini dilakukan secara terus ke kampung-kampung yang dipilih, yang berjauhan dari bandar yang jarang mendapat kemudahan korban ini. Bersama-sama dengan program korban tersebut, program Aqiqah juga dijalankan.

Dalam hal ini saya, Haji Ahmad Tajuddin Abdul Hamid dan isteri Hajjah Norbehar Abdul Hamid, (kini menetap di Gombak, Selangor) bersama-sama dengan seorang sahabat lama saya Haji Shahabuddin Bin Shafie dan isteri Hajjah Pauziah Bt. Kamaluddin (kini menetap di Raub, Pahang) dengan kerjasama sahabat-sahabat di Malaysia dan di Kemboja akan mengendalikan sendiri ibadah korban ini di kampung-kampung yang berkaitan. Insya’Allah ibadah korban ini akan dilaksanakan sebagai mana sepatutnya seperti tuntutan Islam. Ini adalah merupakan satu usaha kecil yang dapat kita sama-sama menyumbang untuk membantu masyarakat Islam Melayu-Champa di Kemboja yang sangat memerlukan.

Bagi seekor lembu dibahagikan kepada tujuh bahagian. Setiap satu bahagian korban diperuntukkan sebanyak RM250.00 (Ringgit: Duaratus Limapuluh Sahaja). Satu bahagian untuk Aqiqah juga adalah sebanyak RM250.00 (Ringgit: Duaratus Lima Puluh Sahaja). Bagi harga seekor kambing ialah antara RM500 - RM 600.00 seekor. Wang tersebut akan digunakan untuk tujuan membeli lembu-lembu korban dan bantuan-bantuan yang lain yang akan disumbangkan kepada masyarakat Islam Kemboja di kampung-kampung yang terpilih. Wang tersebut boleh disampaikan secara tunai atau cek kepada kami: Haji Ahmad Tajuddin, Hajjah Norbehar, Haji Shahabuddin dan Hajjah Pauziah atau terus ke bank: BUMIPUTRA COMMERCE BANK BERHAD, No. 1223-0073551-52-3.

Sesiapa yang ingin menyertai program Korban dan Aqiqah pada setiap Edul Adha yang dirancang ini dapatlah menyerahkan wang penyertaan tersebut selewat-lewatnya seperti tarikh yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Bersama-sama dengan wang tersebut sertakan juga maklumat seperti berikut.
  1. Niat Korban atau Aqiqah tersebut untuk diri sendiri atau ahli keluarga tertentu
  2. Nama dan alamat ahli Korban atau Aqigah diperlukan.
  3. Lain-lain perkara yang ingin dimaklumkan kepada pengelola program ini.
Kami amat menyedari bahawa tanggungjawab dan amanah yang kami akan pikul untuk melaksanakan ibadah Korban dan Aqiqah ini sangat besar di dunia dan di akhirat. Kami akan bertanggungjawab di hadapan Allah Swt nanti atas segala sumbangan tuan/puan yang terlibat. Kami memohon keampunan dan mengharapkan pertolongan Allah Swt jua agar usaha ini mendapat limpahan keredhaan, barakah dan rahmat dari Allah Swt. Marilah kita sama-sama berdoa agar ibadah Korban atau Aqiqah kita ini dapat berjalan dengan baik sebagaimana yang dirancang dan kita semua, yang sama-sama menyumbang mendapat pahala dan ganjaran dari Allah Swt jua.

Yang melaksanakan amanah

Haji Ahmad Tajuddin Abdul Hamid
No. 19 Jalan 5, Taman Gombak
68100 Batu Caves, Selangor
Mobile: 013-359 6954, Rumah: 03-6186 4730

Hajjah Norbehar Bt. Abdul Hamid
No. 19 Jalan 5, Taman Gombak
68100 Batu Caves, Selangor
Mobile: 013-354 8805, Rumah: 03-6186 4730


Haji Shahabuddin Bin Shafie
No. 164, Batu 31/2 Jalan Cheroh,
27600 Raub, Pahang
Mobile: 013-399 9253, Rumah: 09-355 2820

Hajjah Pauziah Bt. Kamaludin
No. 164, Batu 31/2 Jalan Cheroh,
27600 Raub, Pahang
Mobile: 013-394 0404, Rumah: 09-355 2820


0 Responses: